Bab ini adalah berkenaan suami dan tanggungjawab mereka
terhadap isteri mereka dan anak-anak perempuan mereka.
Sebenarnya, bab ini agak panjang kerana terlalu banyak
tanggungjawab suami dan ayah terhadap ahli keluarganya. Cuma bagi memudahkan
kefahaman, tulisan ringkas ini akan fokus kepada satu isu terlebih dahulu.
Iaitu siapa itu lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi SAW
tidak akan masuk syurga.
Nabi SAW bersabda :-
Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada
bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu
bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS" ( Riwayat
Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no
278 )
Dalam sebuah hadith lain pula :
Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang
ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan
maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" ( Riwayat Ahmad )
Malah banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang
hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki
dayus?
ERTI DAYUS
Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan
hadith yang lain iaitu :-
1) Sabda Nabi : -
Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari
Rasulullah SAW berkata : " Tiga yang tidak memasuki syurga sampai
bila-bila iaitu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang
ketagih arak" lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham
erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi :
"IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN
AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA) - ( Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid,
4/327 dan rawinya adalah thiqat)
Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud
lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan
ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah
sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan
dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.
2) Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang
sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:-
Ertinya : Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi :
Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul
bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya)
Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus
Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan
istilah Dayus, ia adalah seperti berikut :-
"Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu
(kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ;
Lisan al-Arab, 2/150)
Imam Al-‘Aini pula berkata : "Cemburu lawannya
dayus" ( Umdatul Qari, 18/228 )
Berkata pula An-Nuhas :
Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki
itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat
(auratnya) oleh lelaki bukan mahram " (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)
Disebut dalam kitab Faidhul Qadir :
Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada
si lelaki) sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan
ahli keluarganya ia tidak mengubahnya" ( Faidhul Qadir, 3/327 )
Imam Az-Zahabi pula berkata :-
Dayus adalah sesiapa yang menyangka (atau mendapat tanda)
bahawa isterinya melakukan perkara keji (seperti zina) maka ia mengabaikannya
kerana CINTAnya kepada isterinya , maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada
kecemburuan ( yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya" ( Al-Kabair, 1/62
)
Imam Ibn Qayyim pula berkata :-
Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil
berat (protective) atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barangsiapa
yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana
perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari
kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga
sensitiviti anggota ( terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya
kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.
Dayus adalah dosa besar
Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini
dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar :
Allah telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia
adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya
dan diharamkan bergaul dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320 )
Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara
meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama
dalam hal kedayusan lelaki ini.
Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para
ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya :
Al-Qawwad ( salah satu istilah yang disama ertikan dengan
dayus) di sisi umum ulama adalah broker kepada zina" (Manar as-sabil,
2/340 , rawdhatul tolibin, 8/186 )
Imam Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus
dengan katanya :-
Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan
oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin
bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya
kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat" (Al-kabair,
1/45 )
Cemburu Dituntut Islam & Jangan Marah
Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu,
benar cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya
isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi
suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil
hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda.
Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai
kepercayaan' kepada isteri.
Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu
tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang
bertanggungjawab dan sedang subur imannya.
Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi
isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari
terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan
nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.
Nabi SAW bersabda :
"Dari tanda kebahagian anak Adam adalah
memperolehi wanita solehah ( isteri dan anak)" ( Riwayat Ahmad, no 1445,
1/168 )
Memang amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi
isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang
tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda
kepada saya menyebut tentang keterlanjuran mereka secara 'ringan' dan 'berat',
mereka ingin mengetahui cara bertaubat.
'Ringan-ringan' Sebelum Kahwin
Jika seorang bapa mengetahui 'ringan-ringan' anak dan
membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang
telah 'ringan-ringan' atau 'terlanjur' sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa
taubat yang sangat serius, rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar
apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan
'ringan-ringan' dengan orang lain pula.
Hanya dengan taubat nasuha dapat menghalangkan aktiviti
mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak
pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur'
ini akan terus merebak kepada zuriat mereka. Awas..!!
Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi
mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.
Suami juga patut sekali sekala menyemak hand phone isteri,
beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada
isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai
tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada
wanita yang kata.
"habis, kami ini tak yah check suami kami ke
ustaz?"
Jawabnya, perlu juga, cuma topic saya sekarang ni sedang
mencerita tanggung jawab suami. Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami
dulu ye.
Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka
demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.
Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi
Berkata Ubadah bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada
lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan
pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu
nabi memberi respond : "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk
agama) yang dipunyai oleh Sa'ad? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil
endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku,
kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang
ternyata dan tersembunyi.. " ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )
Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan
ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang
perkara keji dan mungkar, khasnya zina.
BILA LELAKI MENJADI DAYUS?
Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan
menjadi DAYUS apabila :-
1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya
dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar
rumah.
2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak
diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di
pejabat dan siapa yang menghantar.
3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya
dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan
sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.
4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan
tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.
5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan
pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.
6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak
perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.
7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia,
mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan
kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.
8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan
berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan
semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak
sekali-sekali.
9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup
aurat dengan sempurna.
10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki
lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelamatkannya dari lemas
dan yang sepertinya.
11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh
doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.
12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh
doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor
wanita.
13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman
lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.
14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu
kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.
Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini.
Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan
oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku
secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepad
dirinya.
Mungkin kita akan berkata dalam hati :-
" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di
kelilingku"
Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri
tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.
Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam
golongan yang berdosa besar ini.
Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda
sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori
DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.
Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan
keluargamu dari api neraka.
Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama
isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda :
"Barangsiapa yang mati
dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati
syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)
Renung2kan dan selamat beramal :)
PEACE NO WAR